Cerita Buaya Bujang Senang Yang Sangat Besar



LEGENDA BUAYA BUJANG SENANG

Jika disebut Buaya Bujang Senang sudah semestinya seseorang itu akan menggambarkan seekor buaya yang bersaiz besar dan juga terkenal dengan serangannya keatas manusia lebih-lebih lagi di sepanjang Sungai Batang Lupar, Sri Aman, Sarawak. Namun begitu berapa ramaikah yang mengetahui bahawa ada cerita mitos mengenai apa itu buaya keramat bernama bujang senang mengikut cerita-ceriti masyarakat setempat yang mendiami sekitar persisiran Sungai Batang Lupar. Mungkin cerita legenda buaya bujang senang ini adalah cerita sebenar yang kemudian ditokok tambah bagi mengindahkan penceritaan hanya Yang Maha Esa sahaja mengetahui halnya.

Diriwayatkan melalui cerita lisan orang tua-tua di dalam masyarakat Iban yang mendiami kawasan sekitar Sungai Skrang Sarawak, beratus-ratus tahun dahulu ketika adat ngayau atau adat memburu kepala masih lagi diamalkan di dalam masyarakat pribumi telah gah seorang pahlawan Iban yang bernama Lungu. Pahlawan Lungu ini diceritakan sebagai seorang pahlawan yang hebat terutama sekali sewaktu beliau menyertai ekspedisi mengayau kerana menyebut namanya sahaja musuh sudah gerun, Dikatakan bahawa Lungu telah banyak membunuh dan juga memotong kepala musuhnya dan kehebatannya bukan sahaja di kawasan sekitar Sungai Skrang namun sehingga ke Batang Lupar. Diceritakan juga bahawa Lungu ini kebal iaitu tidak lut senjata dan kerana itulah beliau di dalam setiap peperangan dengan mudah membunuh musuhnya dan tiada tercalitpun kesan kecederaan pada dirinya. Perkara akan hal kebalnya pahlawan Lungu ini telah menyebabkan musuh-musuhnya bertekad untuk mencari kelemahannya agar mudah mereka membunuh pahlawan Lungu ini kelak.

Pada satu ketika, maka bertekadlah musuh-musuh Lungu untuk menculik isteri kesayangan Lungu dan diharap dengan menculik isterinya maka dapatlah mereka mengetahui kelemahan pahlawan Lungu. Isteri kesayangan Lungu telah diculik dan disembunyikan di suatu kawasan tidak jauh daripada Sungai Batang Lupar. Apabila mengetahui bahawa isterinya telah diculik maka marahlah Lungu dan beliau dengan seorang diri telah mengejar penculik-penculik isterinya sehingga ke Sungai Batang Lupar. Seketika di dalam penculikan itu, isteri Lungu telah diseksa oleh musuh-musuh Lungu demi mendapatkan rahsia kekebalan Lungu. Dek kerana tidak tertahan kepada keseksaan tersebut, isteri Lungu telah secara tidak sengaja membuka rahsia bagaimana untuk menewaskan Lungu. Setelah mengetahui rahsia kelemahan Lungu, musuh-musuh Lungu dikatakan telah melepaskan isteri Lungu namun apabila isteri Lungu terlerai dari ikatan tali pada tangannya, dimasa beliau berlari maka pihak musuh Lungu telah membaling tombak ke arah badan isteri Lungu maka matilah isterinya yang tidak berdosa itu.

Lungu yang melihat pembunuhan isterinya itu telah naik berang lalu bertarung dengan musuh-musuhnya. Namun sayangnya tanpa Lungu sedari bahawa rahsia kekebalannya telah bocor di tangan musuh-musuhnya. Musuh-musuh Lungu dengan sengaja mengajak Lungu untuk bertarung dekat dengan air sungai kerana dikatakan kekebalan Lungu tidak menjadi sekiranya dia memijak air sungai ataupun bertarung di dalam sungai. Lungu yang sudah marah dan hanya ingin menuntut bela atas kematian isterinya yang dicintai sudah tidak mengindahkan pantangnya lagi dan terus bertarung. Akhirnya musuh-musuh Lungu berjaya membaling tombak dan kemudiannya Lungu tewas, Tidak cukup dengan kematian Lungu yang luka parah akibat ditombak, jasad Lungu juga disula terbalik dan mayat Lungu dan isterinya dibiarkan di tepi Sungai Batang Lupar agar ianya tenggelam dan dibawa oleh arus sungai yang deras apabila air pasang kelak.

Diriwayatkan bahawa mayat kedua-dua pasangan suami isteri iaitu Lungu dan isterinya setelah air pasang telah bertukar menjadi 2 ekor buaya besar. Salah seekor buaya besar ini mempunyai tanda belang putih dibelakangnya dan inilah yang dikenali sebagai Bujang Senang. Mengikut cerita orangtua, buaya Bujang Senang ini telah bersumpah akan menuntut bela atas kematian mereka dengan akan menjadikan setiap generasi yang berkaitan dengan musuh-musuh yang telah membunuh mereka sebagai korban. Sehingga sekarang masyarakat setempat di sekitar Sungai Batang Lupar masih lagi mempercayai bahawa buaya Bujang Senang itu tidak mati kerana dia adalah buaya keramat penghuni Sungai Batang Lupar.

Inilah sekelumit cerita legenda buaya Bujang Senang yang amat terkenal di Sarawak. Ramai manusia yang telah menjadi mangsanya dan kita masih lagi tidak mengetahui samada benar atau tidak bahawa Bujang Senang telahpun terkorban seperti yang diwar-warkan pada tahun 1992. Sama-samalah kita berdoa agar semua mangsa-mangsa korban buaya Bujang Senang yang lepas-lepas tenang disisi Tuhan Yang Maha Esa. Amin.

Borneo Oracle ♥ Cerita Rakyat Sarawak

Kisah Sarawak Pernah Diserang Lanun Sulu 1862



Sekitar tahun 1800an, kegiatan lanun di wilayah Sarawak amat berleluasa sekali. Lanun-lanun ini adalah terdiri daripada lanun-lanun Sulu yang berasal dari Selatan Filipina. Kekejaman lanun-lanun ini memang tiada taranya pada zaman itu ditambah dengan kegiatan mereka yang suka merompak kapal-kapal dagang yang berurusan dengan Sarawak dan juga menyerang kampung-kampung di persisiran pantai Sarawak. Lanun-lanun ini bukan sahaja akan merompak dan membakar kampung-kampung malah mereka juga menculik ramai wanita dan budak-budak kecil untuk dijadikan hamba abdi di dalam perahu-perahu mereka. Dikatakan bahawa perahu-perahu lanun ini adalah perahu layar yang bersaiz besar dengan berukuran 40 kaki panjang dan 10 kaki lebar dan mampu untuk memuatkan 100 orang lanun serta dilengkapi peralatan peperangan yang cukup seperti meriam dan sebagainya.
Rajah Brooke tidak menyenangi aktiviti ini kerana ianya telah menganggu keamanan rakyat Sarawak lebih-lebih lagi ianya menganggu gugat perdagangan Sarawak dengan dunia luar. Untuk itu pada November 1862, Rajah Brooke telah mengarahkan anak saudaranya iaitu Rajah Muda, Kapten John Brooke untuk ke Bintulu dan membina sebuah kubu di sana. Maka berangkatlah Rajah Muda dengan Kapalnya “Raibow” yang lengkap dengan segala bentuk peralatan perang seperti meriam yang akan digunakan untuk pertahanan di kubu yang dibina kelak. Disamping itu terdapat sebuah kapal penggempur “Jolly Bachelor” yang diketuai oleh Kapten Hewat juga mengusuli Rajah Brooke menyusuri persisiran pantai Sarawak ke Bintulu. Sewaktu menuju ke Bintulu inilah, Rajah Muda mendapat perkhabaran bahawa pelabuhan Mukah sedang diserang oleh lanun-lanun dan Rajah Muda ini maka tanpa berlengah telah mengarahkan kapal dan anak kapalnya ke Mukah. Sesampai di perairan Mukah, pertembungan kedua-dua kapal dengan perahu lanun pun bermula dan di dalam pertempuran itu armada laut Rajah Muda berjaya menenggelamkan 6 buah perahu lanun dan berjaya menyelamatkan tebusan-tebusan rakyat Sarawak yang dijadikan hamba abdi di perahu-perahu tersebut.
Hakikatnya di dalam Perang Mukah ini, armada Rajah Muda sebenarnya telah mengalami kerosakan yang teruk dan amat sukar untuk dibaiki dalam kadar segera sekiranya peperangan ini berlanjutan. Tetapi masa amat menyebelahi armada Rajah Muda kerana taktik peperangan yang digunapakai oleh Rajah Muda telah berjaya melemahkan angkatan lanun-lanun itu. Mangsa-mangsa penculikan lanun-lanun ini terdiri daripada penduduk persisiran Sarawak, pedagang-pedagang dari China dan Singapura serta 2 orang rakyat Inggeris telah dibebaskan di pelabuhan Mukah. Di dalam peperangan Mukah ini juga seramai lebih daripada 100 orang lanun yang terkorban dan ramai lagi yang mampu meloloskan diri dengan perahu-perahu kecil menuju ke laut luas. Diceritakan bahawa sepanjang berada sebagai hamba abdi di atas perahu lanun-lanun ini, kesemua tahanan telah diseksa dengan begitu zalim sekali. Mereka hanya diberikan minum air tawar yang sudah dicampur dengan air masin laut. Jika mangsa culikan terlalu letih dan tidak terdaya untuk berdayung maka mereka akan diseksa dengan menggosokkan cili merah ke mata mereka agar mereka kepedasan dan terus mendayung. Dan ada juga mangsa penculikan akan dibelasah dengan teruk dan sekiranya menemui ajal akan dibuang terus ke laut.
Inilah sekelumit sejarah tentang Peperangan Mukah yang berlaku diantara armada laut Rajah Muda John Brooke anak saudara Rajah James Brooke dengan lanun Sulu pada November 1862. Peperangan ini telah menandakan satu detik sejarah di dalam sejarah lama pembentukan Negara Sarawak yang lebih stabil dan makmur.

Borneo Oracle ♥ Sarawak’s History


Sources: Sellick, Douglas R. G. (2010). Pirate Outrages: True Stories of Terror on the China Seas. Freemantle Press.



Komando Semut Sarawak 1945


Semasa Perang Dunia Ke-2 bermula iaitu apabila Jepun Negara Matahari Terbit mulai meluaskan empayarnya ke Asia Tenggara, Negara Sarawak yang diperintah oleh Rajah Ketiga iaitu Rajah Charles Vyner Brooke telah cuba sedaya upaya untuk mempersiapkan Negara Sarawak dengan sebarang kemungkinan. Walau bagaimanapun, Negara Sarawak tidak mampu mempertahankan serangan dari Jepun yang begitu kuat sekali dan jatuhlah Negara Sarawak kepada Jepun pada tanggal 16 September 1941. Hakikatnya, pertahanan Negara Sarawak terlalu kerdil berbanding dengan kekuatan Jepun pada masa itu walaupun Negara Sarawak sebenarnya adalah Negara Perlindungan Kerajaan Mahkota British merujuk kepada Artikel 8 Perjanjian British/Brunei/Sarawak 1888 namun oleh kerana British juga sedang sibuk mempertahankan negeri jajahannya seperti Malaya, Singapura dan lain-lain maka bantuan yang diberikan kepada Negara Sarawak adalah minimal sekali pada masa itu. Walau bagaimanapun, biarpun Rajah Charles Vyner Brooke sendiri telah berundur dari Negara Sarawak pada masa itu tetapi Tentera Perikatan yang didokongi oleh Australia telah memberikan bantuan di dalam bentuk risikan dan perang gerila ke atas Jepun di bumi Sarawak pada masa itu. Salah satunya adalah Operasi Komando Semut yang bermula di Bario, Sarawak pada 1945. Inilah sejarah yang tidak begitu didendangkan kepada rakyat Sarawak yang cuba untuk Borneo Oracle paparkan kali ini.

Siapa pernah sangka sebuah daerah pedalaman Sarawak yang jauh dari peradaban cosmopolitan kota seperti Bario menyimpan 1001 sejarah di dalam mencapai keamanan untuk Sarawak sekarang. Di sinilah bermulanya Operasi Komando Semut yang dilancarkan oleh Unit Khas Z (Special Task Force Z) pada tanggal 25 Mei 1945. Di ketika itu, Negara Sarawak sedang di dalam genggaman Jepun setelah kalah di dalam Perang Dunia Ke-2. Unit Khas Z ini dibentuk oleh Kerajaan Perikatan iaitu dari Negara Perikatan seperti British, Amerika Syarikat, Australia dan lain-lain lagi bagi memperluaskan unsur perisikan dan gerila ke mana-mana negara yang telah dijajah oleh Jepun. Setelah banyak berlakunya kegagalan di dalam operasi perisikan yang lepas iaitu melalui laut telah dengan senangnya dihidu oleh pihak tentera Jepun maka tiada jalan lain yang boleh dilakukan iaitu menghantar misi rahsia ke Negara Sarawak melalui tempat yang terpencil seperti Bario. Pada subuh 25 Mei 1945, sepasukan anggota payung terjun dari Unit Khas Z diketuai oleh Tom Harrison telah terjun bebas dari ketinggian 6000 kaki ke kawasan sawah padi di Bario. Pesawat tentera yang terbang dari Selatan Pasifik Barat ini berjaya mendaratkan 4 orang tentera Australia namun malangnya diceritakan bahawa apabila ia menuju pulang ke base, kapal terbang tersebut telah terkena bom dan terhempas di Timor Timur, Indonesia dan membunuh kesemua 13 krew yang bertugas di dalam kapal terbang tersebut. Maka tinggallah Unit Khas Z diketuai oleh Tom Harrison dan 3 tentera yang lain di sebuah bumi asing dan operasi ini dikenali sebagai Operasi Komando Semut.

Didalam suasana awal pagi yang sejuk dan sepi di daerah Bario sudah tentu bunyi bising dari sebuah kapalterbang akan mudah membangunkan semua penduduk, maka beramai-ramailah mereka pergi ke arah tentera Australia itu dengan diketuai oleh Penghulu Lawai Besara iaitu Penghulu di Bario pada masa itu. Anggota Tentera penerjun ini sebenarnya tidak takut dengan penduduk tempatan kerana mereka telah biasa dengan penduduk primitive sejak di tahun 1930an melalui Ekspedisi Solomon yang mana pada masa itu Kepulauan Solomon masih lagi teguh dengan masyarakat primitive karnibal iaitu memakan daging manusia. Dengan budi bicara yang baik, akhirnya Tentera Australia ini disambut dengan baik oleh Penghulu Lawai Besara dan orang kampung yang lain. Dengan terjalinnya kefahaman ini maka mudahlah misi Operasi Komando Semut untuk di jalankan di Bario. Tanpa berlengah masa, Tom Harrison dan rakan-rakannya telah merekrut beberapa penduduk tempatan untuk menguatkan pasukan mereka. Ianya bermula di Bario dengan merekrut beberapa orang pahlawan berbangsa Kelabit untuk bersama-sama di dalam agenda mereka. Kemudian setelah persediaan lengkap, Pasukan Tom Harrison telah berjalan kaki menggunakan jalan darat menyusuri sungai-sungai sehingga ke Ulu Baram untuk mencari tentera Jepun.

Di setiap persinggahan mereka, pasti ada yang direkrut untuk menguatkan pasukan mereka. Maka ramailah pahlawan-pahlawan daripada Kayan, Penan, Iban dan etnik yang lain menjadi mata dan telinga untuk unit Semut dan seterusnya menjadikan rangkaian perisikan Tentera Bersekutu pada waktu itu. Mungkin kerana etnik Sarawak ini mempunyai darah pahlawan terutama sekali yang terkenal dengan adat ngayau yang telah diharam sewaktu pemerintahan Brooke namun untuk masa ini pahlawan-pahlawan ini menawarkan diri mereka untuk menjadi tentera gerila menyerang tentera Jepun pada waktu itu. Tom Harrisson dan unitnya bangga dengan semangat juang tersebut dan menyetujui permintaan pahlawan-pahlawan tempatan Sarawak. Diceritakan bahawa terdapat insiden yang mana tentera Jepun yang sedang membuat rondaan telah diserang oleh pahlawan-pahlawan tempatan ini dan dipancung kepala. Ianya bukan sahaja terhad kepada tentera Jepun malah ianya juga mencakupi pemberi-pemberi matlumat kepada Tentera Jepun juga turut dipancung. Inilah sejarah “adat ngayau” yang dihalalkan semula bagi memastikan Sarawak aman daripada pencerobohan Jepun sewaktu dahulu. Ada sesetengah sumber rujukan menyatakan bahawa setiap pahlawan tempatan yang berjaya menunjukkan kepala tentera Jepun akan dibayar dengan harga 20 sen setiap kepala namun cerita ini tidak dapat disahihkan kebenarannya.

Inilah sekelumit sejarah yang tidak didendangkan tentang Operasi Komando Semut di Bario yang bermula pada 25 Mei 1945 dan kemudiannya disusuli kejayaan lebih 80 Operasi Semut selepas itu. Di dalam Operasi Semut ini, penduduk pribumi Sarawak yang terdiri daripada pahlawan Kelabit, Iban, Lun Bawang dan Penan diceritakan telah membunuh lebih 1,846 anggota tentera Jepun melalui serangan ala-gerila dan kemudiannya mengayau kepala musuh-musuh ini. Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh Tentera Perikatan melalui Tom Harrison dan rakan-rakannya juga dengan kepahlawanan rakyat pribumi Sarawak telah sedikit sebanyak melemahkan Tentera Jepun pada waktu itu. Diharap paparan kali ini akan dapat membantu rakyat Sarawak mengenal jati diri kita sebagai rakyat Sarawak sekarang. Sebarang nilai tambah informasi untuk paparan kali ini amatlah dialu-alukan agar kita menjadi masyarakat yang lebih berinformasi tinggi.

sumber : Borneo Oracle ♥ Sarawak History

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Lain